BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, September 12, 2009

REMAJA DAN RAMADHAN





REMAJA DAN RAMADHAN
Panduan Amalan Pada Bulan Ramadhan Untuk Remaja Muslim:


PUASA
Baginda bersabda: "Siapa yang berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu."
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

TILAWAH AL –QURAN
Ramadhan adalah Syahrul Qur’an (Bulan Al-Qur’an), kerana awal diturunkannya Al-Qur’an adalah pada bulan Ramadhan. Dengan berpegang kepada Al-Qur’an, nescaya perjalanan hidup manusia menjadi terarah dan memberi kebahagiaan, kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran serta keadilan. Banyak daripada kita, kaum muslimin yang sudah jauh dari Al-Qur’an, sama ada jauh dalam bentuk tidak pandai membacanya, pandai membaca tapi tidak rajin membacanya, rajin membaca tapi tidak memahaminya, memahami tapi tidak mengamalkannya atau sudah mengamalkannya tapi baru untuk dirinya sendiri, belum merangsang atau mengajak orang lain untuk mengamalkannya.
Oleh kerana itu, sebagai bulan Al-Qur’an, Ramadhan mengingatkan dan mengetuk hati kita untuk memperkukuh komitmen kepadanya. Apabila Ramadhan yang sedang kita lalui ini telah berakhir dan komitmen kita kepada Al-Qur’an semakin kuat, itu merupakan indikasi daripada keberhasilan ibadah Ramadhan kita. Bahkan dalam menjalani kehidupan ini, kita selalu berpanukan kepada Al-Qur’an, kerana Al-Qur’an memang berfungsi sebagai petunjuk dan menjadi neraca untuk kita menilai setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Inilah neraca langit yang membezakan antara perkara yang hak dan yang batil.
Allah berfirman, “Bulan Ramadhan adalah bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang bathil). (Al-Baqarah:185).
Justeru marilah kita sama-sama memperbanyak bacaan Quran dengan tadarus dan tingkatkan kefahaman tentang ayat-ayat Allah dengan mentadabburi setiap bait-bait dari Al-Quran. Hidupkanlah rumah-rumah kita di bulan Ramadhan dengan alunan bacaan suci Al-Quran.






TARAWIH
Solat ini hanya boleh dikerjakan di bulan Ramadan sahaja. Hukumnya - Sunnah muakkadah. Masanya - Setelah seseorang itu mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Boleh dikerjakan bersendirian sahaja.

Menurut hadis Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah maksudnya: "Adalah Rasulullah saw sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda bersabda: "Siapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu."

WITIR
Solat witir (ganjil) boleh dikerjakan pada tiap-tiap malam dan yang lebih afdal pada bulan Ramadan, bersendirian atau berjemaah. Solat ini dikerjakan sekurang-kurangnya 1 rakaat dan boleh dikerjakan 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan sebanyaknya 11 rakaat.

Abu Daud dan an-Nasa'i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayub yang maksudnya: "Rasulullah saw pernah bersabda" Solat witir itu hak, siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat kerjakanlah, siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun kerjakanlah."

Niat witir dua rakaat: "Sahaja aku solat witir dua rakaat menjadi makmum kerana Allah Taala." Niat witir satu rakaat: "Sahaja aku solat witir satu rakaat menjadi makmum kerana Allah Taala."

SOLAT TAHAJJUD
Firman Allah dalam surah al Isra' ayat 19 yang bermaksud: "Pada sebahagian malam, bersolat tahajjudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan."

Niatnya: "Sahaja aku solat sunat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala."





IKTIKAF
Iktikaf ertinya berhenti di dalam masjid dengan niat beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah.

Hukumnya sunat dan istimewa sesudah tanggal 20 Ramadan hingga ke akhirnya. Aisyah ra meriwayatkan yang maksudnya: "Adalah Rasulullah saw melakukan iktikaf sesudah tanggal 20 Ramadan, hal ini menjadi amalan Baginda hingga Baginda wafat."
Niat Iktikaf: "Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah Taala."

LAILATUL QADAR
Firman Allah dalam surah al Qadr ayat 1-3: "Kami telah menurunkan al Quran pada malam Lailatul Qadar. Apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu terlebih baik dari seribu bulan..."

Para ulama berselisih pendapat tentang masanya Lailatul Qadar. Pendapat yang terkuat sekali menyatakan malam Lailatul Qadar jatuhnya pada malam-malam yang ganjil selepas tanggal 20 Ramadan iaitu: 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Pada malam-malam itu sangat eloklah kalau kita membanyakkan ibadat seperti solat, membaca al Quran, berselawat, berzikir dan memohon doa minta diampunkan dosa. Imam Ahmad Ibni Majah dan Al Tarmidzi telah melaporkan sebuah hadis yang diterimanya dari Aisyah: Bahawa Rasulullah telah mengajarkan kepada-nya doa yang diucapkan pada malam Lailatul Qadar iaitu: "Wahai Tuhanku, bahawasanya Engkau Tuhan yang Maka Pemaaf, Engkau menggemari ke-maafan, maka maafkanlah daku."

Dengan paparan diatas diharapkan dapat membantu pengunjung untuk menghayati Ramadhan kali ini dengan lebih baik.
رمضان كريم